Enam Sekolah Luar Bandar Catat Peningkatan Terbaik SPM 2019

Mistirine (berdiri-lima kiri) bersama Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob (berdiri-empat kanan) dan Pembantu Menteri Pelajaran & Inovasi Jenifer Lasimbang (tiga kanan) bergambar bersama pelajar cemerlang SPM 2019

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Enam sekolah luar bandar merupakan antara tujuh sekolah merekodkan lonjakan terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mistirine Radin berkata, enam sekolah berkenaan menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) melepasi 0.70.

Enam sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkol, Pitas; SMK Weston, Beaufort; SMK Kunak Jaya, Kunak; SMK Abdul Rahim, Kudat; SMK Bandau, Kota Marudu; dan SMK Ranau.

Turut mencatatkan lonjakan terbaik adalah SMK La Salle, Kota Kinabalu.

Katanya, jika dilihat daripada segi peratusan pencapaian lulus bagi sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan jurang yang semakin mengecil.

Mistirine berkata, pencapaian lulus bagi sekolah di kawasan bandar adalah sebanyak 88.77 peratus manakala, di sekolah luar bandar adalah 87.43 peratus yang menunjukkan perbezaan 1.34 peratus.

Menurutnya, secara keseluruhan Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2019 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.06 peratus, iaitu 5.38 berbanding 5.44 pada 2018.

“Peratus lulus yang layak mendapat sijil (lulus mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu) pula menurun iaitu daripada 88.53 peratus pada 2018 kepada 87.79 peratus tahun lalu, iaitu menurun sebanyak 0.74 peratus.

“Bagi calon yang lulus semua mata pelajaran sekurang-kurangnya gred E pula menunjukkan peningkatkan sebanyak 2.15 peratus, iaitu daripada 17,420 orang pada 2018 kepada 18,054 orang pada SPM 2019.

“Manakala, 198 orang calon berjaya memperoleh gred A (A+,A dan A-) bagi semua mata pelajaran dalam SPM 2019 berbanding hanya 152 orang pada 2018,” katanya semasa mengumumkan Keputusan SPM 2019, di Sekolah Menengah Kebangsaan  sini, hari ini.

Mistirine berkata, sebanyak 58 mata pelajaran yang diambil dalam SPM 2019 dan 26 mata pelajaran mencatatkan kelulusan 100 peratus. Manakala, empat daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Moral dna Matematik.

Untuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang merekodkan pencapaian melepasi GPN pula, sebanyak 11 PPD mencatatkan pencapaian Gred Purata Daerah (GPD) melepasi GPN Sabah.

PPD itu adalah Tawau, Kudat, Kota Kinabalu, Penampang, Kunak, Tenom, Tuaran, Ranau, Kota Marudu, Beaufort dan Kuala Penyu.

Sementara, 14 sekolah mencatatkan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 4.0.

Ia didahului oleh SM Sains Sabah; SMK ST Michael, Penampang; SMK Agama Kota Kinabalu; SMK Agama Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu; SM Sains Lahad Datu; SM Islamiah Tawau; SMK Matunggong, Kudat; SM ST Patrick, Tawau; SMK Agama Mohamad Ali, Ranau; SMK Perempuan, Sandakan; SM Agama Al-Irsyadiah Marakau, Ranau; SMK Agama Tun Said, Kota Belud; SMK Agama Tun Juhar, Sandakan; dan SMK SUng Siew, Sandakan.

Tujuh pelajar cemerlang SPM 2019 adalah Aina Zainatul Zakirah Ismail dari SMK Agama Kota Kinabalu (10A+1A); Jung Bing Heng dari SMK Sung Siew, Sandakan (9A+,2A); Muhammad Aqlan Syahir Alimuddin dari SMK Agama Kota Kinabalu (8A+,3A); Nabihah Habibon dari SMK Agama Kota Kinabalu (8A+,3A); Nojuel JC Soluku dari SMK ST Michael, Penampang (8A+,3A); Izyani Syahirah Alfian dari SMK Agama Kota Kinabalu (8A+,2A,1B); dan Teo Yu Jing dari SMK Sung Siew, Sandakan (8A+,1A,2B+).