Enam Rumah, Sebuah Masjid Terjejas Dalam Kebakaran di Jalan Apas

TAWAU: Enam buah rumah dan sebuah masjid terjejas dalam kebakaran yang berlaku di Lorong Haji Sundu, Jalan Apas Batu 2 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua buah rumah terbakar sepenuhnya manakala, empat buah rumah dan sebuah masjid terbakar sebahagiannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggila kecemasan pada jam 9.37 pagi dan sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Apabila tiba di lokasi, didapati enam rumah dan sebuah masjid serta sebuah kenderaan terjejas dalam kebakaran yang berlaku.

Operasi pemadaman dilakukan dengan bantuan lapan anggota Bomba Komuniti Titigan.

Pemeriksaan mendapati, dua buah rumah terbakar sepenuhnya, empat rumah terbakar 30 peratus manakala, Masjd Al Munawarah terbakar 15 peratus.

“Sebuah kenderaan iaitu teksi turut terbakar 10 peratus. Malah, terdapat seorang mangsa pengsan dan dihantar ke hospital oleh pihak polis.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran 400 kaki tiga pancutan air daripada tangki pam jentera bomba. Bomba komuniti pula menggunakan satu aliran 200 kaki satu pancutan,” katanya.

Operasi pemadaman terkawal pada jam 9.57 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 11.10 pagi.