Enam Remaja Perempuan Terbabit Gaduh Lari Dari Rumah, Elak Ditahan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Enam remaja perempuan yang diburu polis kerana terbabit dalam pergaduhan di Padang Bandaran di sini, Selasa lalu, dipercayai telah lari dari rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesemua pelajar berkenaan masih belum ditahan sehingga kini.

“Selepas laporan polis dilakukan, kami melakukan siasatan termasuk di rumah suspek di Kampung Panji dan Kampung Pisang berdasarkan maklumat yang diterima.

NASRI MANSOR

“Namun begitu, enam suspek yang diburu gagal dikesan sehingga kini, dipercayai melarikan diri dari kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Nasri menegaskan usaha mengesan semua suspek berkenaan masih diteruskan.

“Saya juga difahamkan semua suspek berkenaan sudah tidak bersekolah lagi,” katanya.

Borneo Today sebelum ini melaporkan satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan remaja perempuan berusia 14 hingga 17 tahun yang bergaduh di Padang Bandaran.

Rakaman pergaduhan mereka kemudiannya dimuat naik di laman sosial sehingga menjadi tular.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan tujuh daripadanya dan direman selama dua hari sehingga semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

BERITA BERKAITAN: –