
SANDAKAN: Enam penjual telur penyu secara haram di Bandar Sandakan ditahan dalam satu operasi bersepadu pada Isnin lepas, dan baru baru ini Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 3,300 telur penyu yang cuba diseludup masuk ke daerah ini dekat sini.
Menurut satu laporan hari Khamis, operasi yang bermula kira-kira 11.30 pagi di Jalan Prayer itu membabitkan Jabatan Hidupan Liar, Pasukan Polis Marin dan Bahagian Penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan.
Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata lebih 300 biji telur penyu dirampas dalam operasi itu,
Katanya tiga daripada lelaki yang ditahan itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Tiga lagi akan dituduh di bawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan HIdupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi sepenuhnya, katanya di sini.
Beliau berkata operasi itu bertujuan membanteras aktiviti penjualan telur penyu di daerah ini khususnya di kawasan Bandar Sandakan.

Katanya menerusi tindakan penguatkuasaan itu, ia akan dapat mendidik masyarakat bahawa perbuatan menjual telur penyu adalah satu kesalahan.
Sementera itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata anggota PPM yang meronda menggunakan bot ronda di kawasan perairan itu telah mengesan dua bot pam cuba memasuki Sungai Batu Putih.
Katanya ketika menghampirinya, kedua-dua juragan bot pam itu bertindak memecut laju dan enggan berhenti bila diarahkan.
Kedua-dua bot pam tersebut kemudiannya hilang kawalan lalu merempuh hutan bakau dan juragan bertindak terjun sebelum melarikan diri serta tidak dapat dikesan.
Hasil pemeriksaan di dalam ruang kedua-dua bot tersebut menjumpai tujuh karung guni berisi 3,300 telur penyu yang disyaki cuba diseludup masuk ke daerah ini dari Filipina, katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Yazib berkata kesalahan dilakukan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan nilai rampasan telur penyu itu dianggarkan RM6,600.