Enam PATI Ditahan Di Perairan Tambisan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Cubaan enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina memasuki negeri ini secara haram gagal, selepas mereka ditahan di dua lokasi berasingan, di Perairan Tambisan, di sini petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, kehadiran suspek yang menaiki dua bot pam itu dikesan menerusi radar kapal peronda sedang bertugas.

“Pegawai dan anggota PPM kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian menaiki dua buah bot bagi melakukan pemeriksaan.

“Sebaik tiba, kami berjaya menemui dua bot masing-masing dinaiki tiga lelaki di dua lokasi berasingan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaanke atas semua suspek berusia 16 hingga 60 tahun itu, PPM tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sehubungan itu, semua suspek ditahan, manakala dua bot pam dan enjin dirampas dianggarkan bernilai RM6,400.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek juga boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000 jika sabit kesalahan,” katanya.