Enam Nelayan Vietnam Kaut Satu Tan Balat Ditahan Di Kinabatangan

55

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam nelayan Vietnam dan merampas sebanyak satu tan balat yang ditangkap menggunakan peralatan haram berhampiran laut Kinabatangan Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, sebelum ditahan, kesemua suspek yang menaiki sebuah bot cuba melarikan diri, gagal.

Katanya, pihak berkuasa yang menggunakan Kapal Maritim (KM) Kota Belud telah mengejar suspek selama 50 minit sebelum mereka berjaya ditahan pada pukul 9.55 malam di perairan Timur Laut Kuala Kinabatangan Besar.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua enam awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berumur antara 27 hingga 44 tahun disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

“Bot itu disyaki menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap balat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semua suspek berkenaan bukan sahaja merompak hasil laut negara, malah turut menggunakan peralatan besi yang dicucuk sehingga ke dasar laut menyebabkan kerosakan ekosistem terutama terumbu karang.

Katanya, peralatan berkenaan diharamkan daripada digunakan.

“Ini adalah kes keempat bot nelayan asing Vietnam ditahan sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan dengan menyasarkan balat.

“Bot, peralatan dan hasil balat seberat satu tan dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM285,000 dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.