Enam Lelaki Warga Asing Ditahan, Alatan Mengebom Ikan Dirampas

496
Pasukan polis marin menjalankan pemeriksaan ke atas bot pam

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Pasukan Polis Marin menahan enam lelaki warga asing dalam operasi Ops Gelora Khas yang dijalankan di kawasan perairan Kudat, di sini pada Rabu.

Empat daripada saspek yang ditahan didapati memiliki peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti mengebom ikan berhampiran Pulau Straggler Kudat.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Mohamad Pajeri Ali berkata, kesemua empat lelaki berumur antara 30 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu ditahan ketika menaiki sebuah bot pam.

”Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot pam itu membolehkan anggota kami menemui barang-barang yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan.

”Antara barangan yang ditemui adalah enam botol plastik berisi baja urea, satu kompresor, segulung hos, satu unit detonator, dua unit injin pam berlainan jenama, lebih kurang 25kg ikan pelbagai jenis serta dua tong kosong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Katanya, hasil rampasan itu dianggarkan bernilai RM 8,090 dan kes itu disiasat dibawah Akta Bahan Letupan 1957.

Mohamad Pajeri berkata, kesemua lelaki itu ditahan dalam operasi Ops Gelora Khas yang dijalankan di kawasan perairan Kudat. Operasi berkenaan dijalankan bagi memerangi jenayah rentas sempadan serta menangani kegiatan penyeludupan dan aktiviti pengeboman ikan secara haram.

Dalam operasi sama, polis marin turut memeriksa sebuah bot nelayan berhampiran Latoan Kudat dan menahan dua lelaki.

Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 27 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta salah seorang daripadanya ditahan atas kesalahan memiliki satu paket hablur lutsinar dipercayai syabu.

Saspek yang ditahan akan disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.