Enam Kru Bot Ditahan Positif Dadah Dalam Operasi Intra Agensi

Polis Marin dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menjalankan pemeriksaan ke atas juragan dan kru bot yang berada di pelabuhan itu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Enam kru bot tempatan dan warga asing didapati positif dadah jenis syabu ketika saringan ujian air kencing semasa Operasi Intra agensi di Pelabuhan Selat Selatan, di sini pada Isnin.

Mereka antara pekerja 22 bot yang diperiksa dalam operasi yang dijalankan
Pasukan Polis Marin dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas 22 bot termasuk bot penumpang, bot nelayan pukat tunda, bot nelayan motor dan bot jongkong secara rawak bagi mengesan juragan dan kru bot yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Enam kru bot yang ditahan kerana positif dadah.

“Keseluruhan seramai 101 orang diperiksa termasuk 65 orang tempatan dan 28 warga Filipina serta lapan warga Indonesia yang berdaftar.

“Kesemua yang positif ujian air kencing ditahan dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.