Enam Jam Berenang, Mangsa Bot Karam Berjaya Diselamatkan

SEMPORNA: Demi menyelamatkan 11 penumpang bot yang hampir karam, seorang juragan sanggup meredah lautan dengan berenang selama enam jam bagi meminta bantuan daripada pasukan keselamatan di perairan Pulau Mantabuan semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semasa kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 46 tahun tersebut bertindak pantas bagi menyelamatkan 11 nyawa yang menaiki bot yang dikendalikan olehnya.

Bot dinaiki 11 penumpang berusia tiga hingga 79 tahun itu mengalami kebocoran dan dimasuki air selepas terlanggar kayu yang terapung di perairan berkenaan.

Siasatan awal mendapati, bot tersebut bertolak daripada Filipina ke Semporna pada jam 2 petang sebelum berhadapan detik cemas tersebut. Ketika berada berhampiran Pulau Mantabuan, bot dinaiki mereka terlanggar kayu yang terapung yang mengakibatkan bot dinaiki bocor dan dimasuki air.

Difahamkan semua penumpang terpaksa berpaut pada bot yang mengalami kebocoran yang diikat bersama tong minyak kosong sementara menunggu diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

“Juragan dan penumpang bertindak pantas mengikat tong minyak kosong dikeliling bot bagi mengelakkan bot tersebut karam. Juragan kemudian berenang ke kawasan pulau bagi mendapatkan bantuan pasukan keselamatan.

“Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di Pulau Mantabuan kemudian bertindak menyelamatkan kesemua mangsa dan menyerahkan mereka kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan lanjut.

“Kesemua penumpang berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Kejadian itu kemudian dilaporkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada pukul 11.14 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut mendapati, enam penumpang merupakan warga tempatan manakala, lima lagi warga asing termasuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, empat PATI dan juragan bot ditahan bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, polis menasihati juragan-juragan bot supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan penumpang dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.