Enam Insiden Bot Karam Dilaporkan Di Sabah

KOTA KINABALU: Keadaan cuaca yang tidak menentu menyaksikan enam kejadian kru kapal hilang akibat bot karam dilaporkan berlaku di perairan Sabah sepanjang tempoh 18 hari pertama tahun ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan enam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) membabitkan satu kes di perairan Karambunai, tiga di perairan Sandakan dan satu di Semporna.

MOHD ROSLI

Malah, terdapat mangsa yang masih belum ditemui seperti kes CARILAMAT yang berlaku di Sandakan. Operasi masih dijalankan bagi mengesan serta mencari mangsa yang hilang.

“Keadaan cuaca yang buruk turut menyukarkan usaha mencari. Kebanyakan kejadian bot karam adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk serta laut yang bergelora.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora akan berterusan sehingga 20 Jan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kelajuan angin mencecah 60 kilometer sejam serta ombak tinggi

melebihi 4.5 meter terutamanya di perairan Pantai Barat Sabah dan Labuan. Amaran cuaca kategori ketiga (merah) juga telah dikeluarkan bagi kawasan tersebut.

Ini bermakna, keadaan cuaca sekarang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja pelantar minyak dan gas, aktiviti di pantai, aktiviti menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Amaran turut dikeluarkan kepada kawasan Timur Sabah yang dijangka bakal mengalami angin kencang dan laut bergelora kategori dua (jingga).

Oleh itu, Mohd Rosli mengingatkan komuniti maritim terutama nelayan tradisional serta pekerja sektor perkapalan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

Terbaharu, MRSC Kota Kinabalu telah mengaktifkan satu lagi operasi CARILAMAT pada 12 tengahari tadi.

“Menurut maklumat yang diterima, sebuah bot gentian kaca (fiberglass) bersama dua nelayan telah karam dipukul ombak di sekitar perairan Kuala Abai, Kota Belud sekitar 6 pagi tadi.

“Maklumat telah disalurkan melalui Pengkalan Hadapan Operasi National Task Force (NTF) Teluk Usukan.

“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa dilaporkan selamat namun, butiran mangsa masih belum diketahui,” ujarnya.

Beliau sekali lagi mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengutamakan keselamatan nyawa semasa melakukan aktiviti di laut.

Jaket keselamatan harus dipakai apabila berada di laut dan bawa alat keselamatan yang lain seperti Personal Locator Beacon (PBL). Selain itu, pastikan kapal dan bot berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan aktiviti di laut.

Justeru itu, Maritim Malaysia memohon kerjasama komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau menemui sebarang petunjuk berkaitan kes CARILAMAT kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 atau MERS 999.