Enam Ingkar PKP Didenda RM800

Enam individu termasuk empat sekeluarga ditahan ingkar PKP ketika hendak menghadiri majlis kenduri.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Enam individu termasuk empat beranak didenda masing-masing RM800 selepas mengaku bersalah ingar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh Abdurrasad Arsad, 60; Salbiah Bain, 64; Raman Abdurrasad, 36; Rozana Abdurrasad, 28; Salmawati Safar, 27, dan Mohd Arifin Saiful, 23, didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 April 2020, pukul 1.50 petang.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, semua tertuduh ditahan di Simpang Tanah Merah Kampung Merotai Besar, menaiki sebuah van untuk menghadiri majlis kenduri Ramadan di rumah ahli keluarga mereka di situ.

Sehubungan itu, mereka didapati melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Majistret Dzul Elmy Yunus menegaskan niat untuk menghadiri kenduri adalah baik, namun semua acara keagamaan termasuk upacara akad nikah dan solat berjemaah di masjid juga ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP yang bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan setiap tertuduh didenda sebanyak RM800, gagal bayar penjara 10 hari.

Bagi Salmawati Safar dan Mohd Arifin Saiful akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia sebaik selesai menjalani hukuman kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Dg Nor Azarinawaty Ag Kachee manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.