Empat Sahabat Berhibur Dan Berkaraoke, Ditahan Ingkar PKP

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Kegembiraan empat sahabat berhibur sambil menyanyi di pusat karaoke membawa padah apabila kesemua mereka ditahan polis kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua empat lelaki itu termasuk seorang pemilik premis ditahan oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 9.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, ketika anggotanya melakukan rondaan PKP di sekitar daerah itu, mereka terdengar bunyi bising di salah sebuah premis perniagaan.

Katanya, apabila pemeriksaan dilakukan, didapati empat lelaki berkumpul di sebuah bilik karaoke dengan bunyi muzik yang kuat. Berikutan itu, kesema mereka ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

Menurutnya, beberapa set sistem karaoke serta wang tunai berjumlah RM1,337 turut dirampas dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mohd Haris berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan semua tangkapan dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.