Empat Premis Dikompaun Gagal Letak Tanda Harga Pink

KOTA KINABALU: Empat premis dikompuan kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang sedang dilaksanakan.

Pengarah Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, daripada 4,277 premis diperiksa, empat premis dikenakan kompaun berjumlah RM400 kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dengan nilai rampasan RM267.08.

Beliau berkata, peniaga dinasihatkan untuk menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi SHMKM 2022 dan tidak menjual melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

“Peniaga juga diingatkan supaya mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barang kawalan SHMKM, pamerkan tanda harga yang jelas, memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna di samping terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan SHMKM ini selaras dengan usaha kerajaan menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran.

Tempoh skim ini yang bermula dari 7 hingga 31 Disember 2021 telah disambung sehingga 4 Februari 2022.

Justeru itu, pengguna dinasihatkan agar menggunakan hak sebagai pengguna dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

Pengguna hendaklah sedar tentang kepentingan berbelanja secara berhemah dan tidak perlu membeli secara berlebihan.

Jelasnya, pengguna boleh melaporkan kepada KPDNHEP jika ada peniaga yang menjual lebih daripada harga kawalan atau menaikkan harga jualan secara tidak munasabah.

Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dalam kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan untuk mematuhi peraturan-peraturan di bawah SHMKM 2022.