Empat Lagi Kontrak Pakej Kerja Lebuh Raya Pan Borneo Dimuktamadkan Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan memuktamadkan empat lagi pakej kerja bagi lantikan kontraktor untuk pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah pada tahun ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, empat pakej kerja itu termasuk pakej bagi laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak akibat prestasi kerja kontraktor yang tidak memuaskan.

KKR memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen hari ini bagi menjawab persoalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar), mengenai jumlah pakej kerja-kerja pembinaan keseluruhan Pan Borneo (Sabah) yang belum dilaksanakan sewaktu peralihan kerajaan sejak 1 Mac lepas.

KKR memaklumkan pelaksanaan Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dianggarkan melibatkan pembinaan pada jarak keseluruhan 706 km dibahagikan kepada 35 pakej kerja.

Bagaimanapun, sebanyak 12 pakej kerja telah dibuat lantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan.

Sementara itu, sebanyak 41 kontrak telah dianugerahkan kepada kontraktor dan perunding dalam pelbagai bidang bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang berpengalaman di Sabah.

Manakala pelaksanaan bagi baki 20 pakej kerja, adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan untuk Pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Mengenai kemajuan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, KKR memaklumkan, setakat ini kemajuan projek itu baru mencapai 32 peratus setakat Jun.