Empat Ditahan, Syabu RM2 Juta Dirampas

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan empat lelaki tempatan dan merampas 50 kilogram dadah jenis Methamphetamine dianggarkan bernilai RM2.08 juta.

Semua suspek ditahan di unit pemeriksaan penumpang Lapangan Terbang Sandakan pada 23 Jun lalu selepas pemeriksaan ke atas bagasi mengandungi dadah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar, berkata semua suspek yang berusia antara 19 hingga 23 tahun menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur ke Sandakan.

Katanya, mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pada hari yang sama, kita turut menahan empat individu dan merampas tiga kilogram dadah bernilai RM150,000 di Kargo MAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Mereka menggunakan modus operandi dengan memanipulasi bungkusan yang diikrar sebagai tudung, namun pemeriksaan kemudian mendapati ia berisi dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Abdullah berkata, empat suspek membabitkan seorang lelaki tempatan, manakala tiga lagi warga asing termasuk dua wanita dengan suspek berusia antara 19 hingga 47 tahun.

Katanya, tangkapan kes dadah itu adalah menerusi Ops Ice Break II 2020 yang dilaksanakan bermula 22 Jun hingga 5 Julai lalu, serentak di pintu masuk negara, pusat pengumpulan mel dan kurier, gudang kargo udara dan pintu sempadan darat negara.

“Ia bagi memutuskan rangkaian pengedaran dadah berbahaya, selain meningkatkan kolaborasi serta perkongsian maklumat dalam kalangan negara terlibat.

“JKDM Sabah telah menubuh dan menggerakan pasukan di seluruh stesen Kastam di negeri ini seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Keningau, Sipitang, Menumbuk, Kudat dan Labuan,” katanya.

Abdullah berkata, sepanjang tahun ini, JKDM Sabah berjaya merampas dadah bernilai RM3.5 juta membabitkan 17 kes.

Katanya, pihaknya turut merekodkan tangkapan kes rokok bernilai RM5.3 juta dan RM3.4 juta bagi minuman keras.