Empat Anggota AADK Didenda Palsukan Dokumen

KOTA KINABALU: Empat anggota Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) didenda dengan nilai keseluruhan RM 39,000 di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Tertuduh, Razilah Sahad, 39; Mohd Hanip Juarip, 33; Panduan Paglin, 40 dan Erwan Roslan, 41, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan elaun perjalanan dalam negeri yang dibacakan dihadapan hakim Abu Bakar Manat.

Razilah iaitu Pembantu Anti Dadah didakwa bagi lapan pertuduhan memalsukan dokumen bagi tuntutan elaun perjalanan antara April hingga Disember 2017. Dengan itu, tertuduh dikenakan denda RM12,000 bagi kesemua lapan pertuduhan.

Sementara itu, Mohd Hanip, yang merupakan Penolong Pegawai Anti Dadah didakwa atas enam pertuduhan memalsukan dokumen iaitu resit penginapan bagi tujuan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri antara Februari hingga Julai 2017 dan membabitkan tuntutan berjumlah RM 1,473.

Bagi Panduan yang juga Penolong Pegawai Anti Dadah, beliau didakwa atas enam pertuduhan memalsukan dokumen bagi tuntutan elaun perjalanan antara Mac hingga November 2017, dengan jumlah tuntutan RM3,443.

Erwan pula didakwa atas enam pertuduhan memalsukan dokumen bagi tuntutan elaun perjalanan antara Februari hingga November 2017, dengan jumlah tuntutan RM2,938.

Mohd Hanip, Panduan dan Erwan didenda RM9,000 bagi kesemua enam kesalahan yang dilakukan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah 465 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum selama dua tahun dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi dan PsK Rekraj manakala, kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Adnan Puteh & Saleh Co.