Empangan Papar Mampu Penuhi Keperluan Bekalan Air, Elektrik

Shafie beramah mesra dengan tetamu yang hadir .

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Permintaan tinggi terhadap keperluan bekalan air dan elektrik di kawasan pusat bandaraya, Penampang dan Papar antara faktor yang mendorong Kerajaan Negeri meneruskan perancangan membina Empangan Papar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pembinaan empangan ini sudah dilihat secara menyeluruh dan ia melibatkan keperluan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

“Saya percaya pembinaan Empangan Bakun dahulu juga mendapat tentangan masyarakat setempat. Tetapi sekarang, empangan itu dapat membekalkan elektrik ke Brunei Darussalam dan mampu menjual bekalan elektrik kepada Sabah.

“Ini adalah bukti apa yang berlaku dahulu itu ternyata mampu memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

“Banyak manfaat yang kita boleh perolehi jika kita mempunyai bekalan elektrik dan air yang mencukupi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perancangan membina Empangan Papar.

Mohd Shafie berkata, beliau sudah berbincang tentang keputusan meneruskan pelaksanaan projek itu dengan Yang Berhormat Jannie Lasimbang dan Jenifer Lasimbang kerana mereka mempunyai pandangan tersendiri. Bagaimanapun, saya menghormati pendapat mereka.

Katanya, beliau memaklumkan kepada mereka bahawa kerajaan perlu meneruskan projek itu demi pembangunan di Sabah.

Pada Rabu, Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Anthony ketika melawat tapak Empangan Papar menyatakan pembinaan empangan itu akan dimulakan sebaik sahaja pelan baharu siap.

Katanya, pembinaan Empangan Papar itu akan dilaksana di kawasan sungai berhampiran Kampung Menderingin, Papar.

Empangan Papar itu dijangka mampu membekalkan sejumlah 1,000 juta liter air setiap hari (MLD).

BERITA BERKAITAN: –

Pembinaan Empangan Akan Dimulakan, Mampu Atasi Masalah Air, Elektrik