Kaiduan Dam; Penduduk Ulu Papar Tetap Dengan Pendirian Mereka

Ketibaan Pairin di Kg Terian Jumaat lalu, November 10, 2017. Penduduk Ulu Papar tidak mahu empangan Kaiduan diteruskan. – Gambar-gambar ihsan Nousi Giun dan Save Ulu Papar

KAMI MEMBANTAH KERAS CADANGAN PROJEK INI KERANA BAKAL MEMUSNAHKAN ‘SYURGA KECIL’ HUTAN HUJAN DI BANJARAN CROCKER, TERMASUK TANAH NENEK MOYANG YANG DIWARISI SEJAK TURUN-TEMURUN

Oleh NOUSI JOSEPH, MARY GIUN, DIANA SIPAIL DAN DIDI NELSON
KOMEN: Lawatan Joseph Pairin Kitingan ke Kampung Terian, Penampang pada 10 November 2017, adalah hari yang bersejarah bagi penduduk Kg Terian dan kampong kampung sekitar di Ulu Sungai Papar.

Walaubagaimanapun lawatan beliau tidak dibanggakan oleh penduduk kawasan ini oleh kerana tujuan lawatan ini adalah mengenai isu cadangan pembinaan empangan Kaiduan. Penduduk Kg Terian sebulat suara telah memboikot kedatangan beliau serta rombongannya oleh kerana isu cadangan pembinaan Empangan Kaiduan ini.

Dianggarkan sebanyak 40 buah kereta pacuan empat roda telah mengiringi lawatan beliau dan juga rombongan jabatan-jabatan kerajaan yang turut serta dalam lawatan ini.

Adalah difahamkan lawatan ini dibuat susulan saranan komuniti yang bakal terjejas semasa forum anjuran Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 18 Januari tahun ini. Tetapi kenapa baru sekarang beliu membuat lawatan? Kita sudah menjemput beliau sejak 2010 tetapi beliau mengambil masa tujuh tahun untuk datang.

Dari itu, pintu hati penduduk Ulu Papar sudah tertutup untuk menerima kedatangan beliau. Kita sudah menyatakan pendirian kita dengan jelas tentang pembinaan empangan ini sejak isu ini tersebar luas. Kita menolak sekeras-kerasnya sebarang pembinaan empangan di Sungai Papar dan tidak mahu menerima sebarang pampasan serta tidak mahu bekerjasama dengan kajian SIA/EIA.

Jalan masuk-keluar Kg Terian rosak teruk kerana kereta pacuan empat roda yang mengiringi Pairin tempoh hari.

Lawatan kali ini yang membawa puluhan kereta pacuan empat roda pastinya menyebabkan jalan raya menuju ke kawasan laluan utama ini terutamanya di kampung Terian rosak teruk dan ini mengundang bahaya kepada penduduk kampung yang sering menggunakan jalan raya ini.

Kami juga mengecam sesetengah program kerajaan yang selalu membawa kereta pacuan empat roda membuat aktiviti di Ulu papar kerana ia menyebabkan jalan raya rosak dan membahayakan nyawa penduduk kampung.

Lebih kurang 40 buah kereta pacuan empat roda masuk ke Kg Terian, dan akibat itu, jalanraya yang belum diaspal itu teruk sangat.

Kami tidak mahu jalan raya dijadikan taman permainan oleh persatuan-persatuan kereta pacuan empat roda kerana penduduk kampung terpaksa membuat pungutan wang diantara penduduk Ulu Papar untuk membaiki kerosakan jalan kerana pihak kerajaan tidak membaiki jalan tersebut, hanya kerana apabila isu pembinaan empangan ini akan diteruskan juga.

Kami membantah keras cadangan projek ini kerana bakal memusnahkan ‘syurga kecil’ hutan hujan di Banjaran Crocker, termasuk tanah nenek moyang yang diwarisi sejak turun-temurun.

Pameran-pameran mengenai tempat cadangan pemindahan dan jenis-jenis pampasan yang ditawarkan terutamanya rumah yang kecil dan keluasan tanah dari rombongan ini dikutuk keras dan menghina penduduk di kawasan ini.

Komuniti telah membuat protest secara aman dengan menulis perkataan di kain rentang mengenai keluhan dan bantahan keras dari mereka yang dilekatkan di sepanjang jalan kawasan blockade di kawasan ini dan di Kg Terian.

Komuniti berpendirian teguh/kukuh serta tidak akan menerima sebarang pampasan dan berkeras kepada kerajaan untuk membatalkan niat mereka membuat empangan di kawasan Sungai Papar serta merta dan mencari alternatif yang lebih mesra alam dan tidak ada risiko.

Komuniti berkomitmen tinggi terhadap penjagaan alam sekitar serta pengekalan biosphera di kawasan bersejarah ini untuk generasi muda Orang Asal di sini serta orang awam yang menikmati keindahan asli di kawasan ini.

Oleh itu, kita pun menyeru kepada orang awam memahami kesan kehilangan alam biodiversiti di kawasan ini (Banjaran Crocker/Salt Trail) yang sangat hampir dengan daerah Penampang, seperti juga di kawasan lain di Maliau Basin, Danum valley, hutan simpan Deramakot dan sebagainya, yang masih asli.

Dr. Maximus Ongkili (Minister of Energy, Green Technology & Water) dalam ucapan penggulungan Dewan Rakyat, Kementerian beliau telah meluluskan projek Off River Storage (ORS) di mana air akan ditakungkan untuk pembekalan air yang berkualiti. Beliau menyatakan bahawa ini adalah pilihan terbaik daripada membina empangan mega. Tetapi malangnya kawasan daerah Penampang tidak tersenarai untuk membuat projek ini.

• Hasil gabungan kenyataan dari Nousi Joseph, Mary Giun, Diana Sipail dan Didi Nelson adalah dari TAKaD (Taskforce Against Kaiduan Dam)