‘Elvis Presley’ Dan Rakan Lega Boleh Cari Rezeki

KOTA KINABALU: Biarpun suaranya tidak seperti penyanyi legenda Elvis Presley tetapi kerana namanya Elvis Pilep, dia sering diminta menyanyikan lagu dendangan penyanyi terkenal Hollywood itu.

Elvis, 31, bersama rakan pemuzik jalanan (buskers) kini mampu menarik nafas lega setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan untuk mengadakan persembahan sekali gus menjana kembali sumber pendapatan yang terjejas akibat COVID-19. 

Bekas guru muzik di sebuah sekolah swasta itu berkata sejak COVID-19 melanda negara, mereka turut terkesan kerana tidak dapat mengadakan persembahan di tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh persatuan buskers di negeri ini iaitu Sabah Buskers Community (SBC).

“Pendapatan sekarang bertambah baik (sejak dibenarkan), saya mengadakan persembahan dengan menyanyikan lagu-lagu moden dan komersial,” katanya kepada Bernama.

Bekas graduan daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata antara lagu Elvis Presley yang sering dinyanyikannya ialah ‘Blue Suede Shoes’, ‘Can’t Help Falling in Love’, ‘Crazy Little Thing Called Love’ dan ‘My Way’.

Elvis yang bernaung di bawah SBC berkata pemuzik jalanan diberikan jadual penggiliran bagi setiap persembahan dan dia mengadakan persembahan secara solo di beberapa tempat antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan pusat beli-belah di sekitar Inanam.

Bagi setiap persembahan, dia akan menyanyikan antara 60 hingga 90 lagu termasuk yang diminta orang ramai, justeru bagi mengekalkan staminanya agar sentiasa bertenaga, Elvis akan melakukan latihan dan aktiviti memanaskan badan sebelum membuat persembahan.

Sementara itu, Hendry Jublin, 52, turut menarik nafas lega apabila dapat menghiburkan orang ramai, kerjaya baharunya setelah diberhentikan kerja sebagai pengurus projek di sebuah syarikat yang terjejas akibat pandemik itu.

Bapa kepada lima cahaya mata itu menggunakan sepenuhnya bakat yang diwarisi keluarga untuk mencari rezeki dengan mengadakan persembahan meniup ‘pan flute’ (seruling leper), hasil buatan tangannya sendiri sambil diiringi muzik tradisional.

“Alat muzik yang digunakan ini adalah daripada pokok buluh dan memakan masa kira-kira sebulan untuk disiapkan, pembuatannya harus teliti bagi memastikan seruling itu ada bunyi Do Re Mi,” katanya yang menjelaskan empat anaknya juga mahir bermain alat muzik.

Hendry yang berasal dari daerah Tambunan berkata semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia hanya membuat persembahan di Facebook dan pendapatannya agak berkurangan malah pernah mendapat RM20 sahaja.

“Tetapi bersyukur sebab ada juga (duit). Sekarang walaupun persembahan secara solo ia sudah memadai kerana kami boleh mengadakan persembahan terutamanya untuk peminat buskers,” katanya yang turut mahir bermain piano dan keyboard.

Pada 25 Feb lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa di seluruh negara membuat persembahan di restoran dan gerai makan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).