Elaun Pengarah Naik Tapi Peneroka Felda Masih Bergelut – Warisan

KOTA KINABALU : Parti Warisan (Warisan) terkejut dan kecewa kerana kerajaan terus tidak mengendahkan keluhan rakyat yang dibebani masalah kenaikan harga makanan, sebaliknya lebih suka mengambil tindakan tidak masuk akal yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, tindakan terbaharu berkaitan kenaikan elaun dan keistimewaan untuk individu terpilih dalam FGV Holdings Berhad, cabang agensi kerajaan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

FGV mengadakan Mesyuarat Agung pada 23 Jun lalu dan antara agendanya, menaikkan elaun Pengerusi, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan lembaga pengarahnya.

Dzulkifli yang dilantik ke jawatan itu tahun lalu akan menerima kenaikan elaun tahunan kepada RM480,000, berbanding RM300,000 sebelum ini, iaitu pertambahan sebanyak RM180,000.

Pada masa sama, beliau juga diberikan elaun kereta sebanyak RM18,000 sebulan, pengawal peribadi, elaun keahlian kelab dan banyak lagi. Malah, elaun pengarah FGV juga dinaikkan kepada RM150,000 setahun berbanding RM120,000 setahun, sebelum ini.

“Ganjaran dan manfaat kewangan yang terlalu tinggi untuk segelintir individu ini adalah membimbangkan ketika rakyat sedang bergelut untuk menampung kos kehidupan dalam keadaan inflasi yang kian meningkat dengan pantas,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkat,a bantuan tunai RM100 kepada golongan B40 adalah terlalu kecil berbanding manfaat kewangan yang dinikmati segelintir individu yang mempunyai keistimewaan ini.

Dalam waktu yang sukar ini, wang itu sepatutnya dibelanjakan untuk membantu masyarakat Felda.

Malah di Sabah, salah urus agensi itu terbukti apabila ia gagal menunaikan persetujuannya sebelum ini untuk menyediakan penempatan bagi penduduk Sabah yang tidak mempunyai tanah.

Kira-kira 400,000 hektar tanah di Lahad Datu telah dikenal pasti untuk program itu bagi membolehkan peneroka menikmati hasil keuntungan ladang getah atau kelapa sawit di bawah Felda, tetapi sehingga kini hanya 25 peratus tanah berkenaan dibangunkan untuk peneroka.

“Mengapa kerajaan tidak serius untuk membantu rakyat? Adakah mereka lebih suka berdepan dengan kemarahan rakyat apabila semuanya sudah terlambat kelak?
Kenaikan tarif elektrik yang bakal mendatang akan lebih memburukkan lagi keadaan, dan kerajaan mesti meneliti tindakan yang perlu dilakukan segera untuk kebaikan rakyat.

“Kerajaan Keluarga Malaysia mesti menunjukkan bahawa ia benar-benar mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, dan bukannya menjaga kepentingan hanya segelintir individu terpilih,” katanya.