Elaun MPKK Akan Dibayar Setiap Bulan – Ewon

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick memberi jaminan elaun bulanan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan terus dibayar sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan RM30juta yang disalurkan menerusi Pakej Bantuan Covid-19 itu akan digunakan bagi membayar elaun MPKK di seluruh Sabah bermula Mac hingga Disember ini.

Katanya, elaun pada Januari dan Februari sahaja akan dibayar oleh kementerian di peringkat persekutuan.

Ewon juga memberi jaminan kepada semua MPKK bahawa tiada perubahan dalam struktur MPKK di Sabah kerana bidang kuasa melantik MPKK terletak di bawah kerajaan negeri.

“Kita masih kekalkan pelantikan yang sedia ada biarpun kuasa berlaku perubahan di peringkat kerajaan persekutuan tapi, ia tidak libatkan perubahan di peringkat MPKK di Sabah,” katanya kepada Borneo Today, ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurutnya, dengan pemberian elaun berkenaan diharap MPKK seluruh Sabah akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kerajaan dan pucuk pimpinan kawasan masing-masing dengan sebaiknya.

Peruntukan RM30 juta bagi pembayaran elaun MPKK itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada Rabu. Ia sebahagian daripada RM670 juta peruntukan yang disediakan kerajaan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah.