Elak Rakam Video Mengundang Kebimbangan Orang Awam – Pengarah Kesihatan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi mengingatkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak merakam sebarang video berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) sehingga boleh mengundang pelbagai reaksi orang awam.

Katanya, dalam keadaan sekarang, sebarang video mudah disebarkan biarpun berkemungkinan video itu dirakam bertujuan untuk memberi makluman kepada keluarga kakitangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada video tular berdurasi dua minit yang memaparkan seorang jururawat meminta orang awam yang mempunyai gejala Covid-19 agar bersikap jujur dan memaklumkan kepada kakitangan kesihatan sekiranya mempunyai gejala berkenaan demi keselamatan semua pihak.

Christina berkata, orang ramai juga perlu beringat sebelum menularkan sebarang video berkaitan Covid-19 kerana ia boleh mengundang panik.

Menurutnya, dalam kes ini, orang yang dimaksudkan itu hanya salah seorang daripada pengesanan kes yang disyaki (PUI).

“Cara untuk atasi kes ini adalah kita akan siasat semua yang mempunyai tanda-tanda dan diklasifikasikan sebagai PUI.

“Mereka yang datang untuk diperiksa memang kita akan ambil langkah berjaga-jaga termasuk untuk kakitangan kita,” katanya ketika mengulas mengenai video tular yang dirakam sendiri oleh jururawat berkenaan.

Christina berkata, berdasarkan video itu, mereka berpendapat, rakaman itu bukan ditujukan kepada orang awam sebaliknya kepada keluarga jururawat tersebut, maka tidak perlu diperbesarkan.

“Kita juga tidak tahu siapa yang viralkan video ini. Kita mesti berjaga-jaga agar video sebegini tidak viral.

“Sekarang ini, kita juga terpaksa memberi kaunseling ke atas kakitangan tersebut kerana dia sendiri terkejut videonya diviralkan sebegitu,” jelasnya.

Video berkenaan dirakam berikutan seorang pesakit disyaki warga tempatan yang baru pulang dari Korea yang sepatutnya dikuarantin selama 14 hari di rumah tetapi, pesakit itu didakwa datang ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami gejala sesak nafas.

Sementara itu, Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, sehingga kini, 138 kes PUI direkodkan di Sabah dan 106 sampel telah diambil dan kesemua sampel itu adalah negatif.

Manakala, 32 kes tidak diambil sampel kerana tidak memenuhi kriteria PUI Covid-19.

Setakat hari ini, 12 notifikasi yang diterima melibatkan daerah Keningau, Semporna, Tawau, Sandakan, Tuaran, Lahad Datu, Ranau dan Kota Kinabalu dan kesemuanya keputusan sampel juga negatif.