Elak Kenyataan Berbaur Perkauman, Fokus Pembangunan Dan Kebajikan Rakyat-Ewon

96
Ewon melawat jalan desa Kg Gaur yang sedang dalam pembinaan.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick mengajak rakyat di negeri ini supaya terus bersatu padu dan mengelak daripada membuat kenyataan berbaur perkauman dan keagamaan.

Beliau berkata, ini kerana sentimen seumpama itu akan menyebabkan fokus untuk mengurus pembangunan dan kebajikan rakyat akan terpesong kerana terlalu menumpukan perhatian kepada usaha menyelesaikan masalah perbezaan pendapat.

“Sebab itu kita harus mengelak daripada membuat ucapan dan kenyataan berbaur perkauman dan keagaaman kerana sentimen seperti ini akan menyebabkan fokus kita seolah-olah tertumpu hanya untuk menyelesaikan perbezaan pandangan.

Ewon melepaskan kenderaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kota Belud.

“Kita sepatutnya memberi fokus yang lebih banyak kepada pelaksanaan program-program pembangunan sama ada berskala kecil atau sederhana di kawasan masing-masing terutamanya luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat jalan perhubungan desa di Kampung Gaur dan melawat  melawat  seorang ibu, Orang Kelainan Upaya (OKU) Saidap Padis, 59, dari Kampung Piasau dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di sini, hari ini.

Terdahulu itu, beliau melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kota Belud di Dewan Serbaguna Kampung Piasau. Turut hadir Adun usukan Datuk Japlin Akim, Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah, ketua-ketua jabatan/ agensi persekutuan dan negeri serta para pemimpin setempat.

Ewon ketika melawat Saidap (tengah) di rumahnya di Kampung Piasau, sebagai antara pengisian program Kemerdekaan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sejak Jun tahun lalu sehingga kini, beliau berjaya membawa kira-kira RM10 juta peruntukan dari pelbagai kementerian kerajaan negeri dan persekutuan ke kawasan DUN Kadamaian untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan luar bandar.

“Antaranya jalan perhubungan desa, jalan pusat pelancongan luar bandar, dewan serbaguna, jambatan gantung, gelanggang sukan, gymnasium rakyat, bangunan keagamaan, rumah PPRT dan pelbagai jenis ameniti sosial lain termasuk program sentuhan kasih untuk membantu orang susah,” katanya.

Mengenai sambutan Bulan Kemerdekaan, beliau berkata, tema tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ bukan semata-mata berkisar kebersihan alam sekitar dan fizikal tetapi juga jiwa kebangsaan dan jiwa merdeka yang bersih daripada anasir yang boleh menganggu gugat keharmonian dan perpaduan negara.

Ewon menerima cenderakenangan daripada Ketua Kontinjen Azman Sipan. Turut kelihatan Japlin (tengah).

“Jiwa merdeka sepatutnya diisi dengan program-program pembangunan rakyat berasaskan perpaduan dan keharmonian, sebab tanpa perpaduan kita tidak dapat melaksanakan pembangunan dan mengurus kemajuan,” katanya.

Ewon berkata, selain itu, jiwa merdeka juga seharusnya diisi untuk mengurus kebajikan rakyat yang menghadapi masalah.

“Sebab itu, pada hari ini kita turut meluangkan masa untuk melawat seorang ibu yang dahulunya pemain bola sepak Sabah daripada pasukan wanita yang mengalami kecederaan dan akhirnya sakit.

Ewon bergambar bersama sebahagian peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Sabah 2019.

Mengenai bantuan kepada Saidap, Ewon berkata, beliau telah menyampaikan bantuan sentuhan kasih secara tunai dan Jabatan Kebajikan yang bersama-sama dalam lawatan itu juga bersetuju memasukkan ibu itu dalam program bantuan kebajikan.

“Saya membawa Pegawai Kebajikan Kota Belud Madius Surag dan selepas meneliti, ibu itu (Saidap) layak menerima bantuan kebajikan dan dalam masa terdekat pegawai Jabatan Kebajikan akan datang kembali ke sini untuk mendapatkan semua dokumen yang diperlukan,” katanya.