Ekspresi Media Bantu Promosi Produk, Destinasi Pelancongan

33

KOTA KINABALU: Program ‘Ekspresi Media Kinabalu 2019’ yang berkonsepkan lawatan suai kenal berbentuk interaktif, mampu membantu mempromosikan produk dan destinasi pelancongan menarik di seluruh Sabah, kata Pengarah Kanan Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Beliau berkata program lima hari sehingga hari ini yang disertai lebih 10 penggiat media daripada pelbagai agensi media di Malaysia itu diadakan bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Para peserta dibawa bersiar-siar dari Kota Kinabalu ke Tuaran, Kudat serta Kota Belud dan merasai sendiri pengalaman melawat lokasi menarik yang baharu mahupun yang sedia ada. Pengisian program termasuk pemeriksaan produk pelancongan baharu dan taklimat oleh para pengusaha industri pelancongan,” katanya pada Majlis Sembang Santai program berkenaan, di sini malam tadi.

Beliau berkata anggota media juga berpeluang mendekati adat dan budaya tempatan terutamanya di negeri Sabah yang terkenal dengan pelancongan berasaskan komuniti.

“Program ini merupakan satu daripada strategi Tourism Malaysia untuk menembusi dunia digital di mana penggiat media boleh memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk pelancongan melalui sudut penceritaan yang mampu memberi impak yang tinggi dalam era digital ini.

“Para peserta program berpeluang melakukan pelbagai aktiviti seperti menginap di dalam khemah mewah atau dikenali sebagai ‘Glamping’ di Cabana Retreat dan menaiki bot menyusuri sungai untuk menghayati pemandangan sekitar Pantai Rampayan yang didiami spesies monyet proboscis dan kunang-kunang serta keindahan suasana matahari terbenam,” katanya.

Iskandar Mirza berkata selain itu antara pengisian menarik program adalah pendedahan kepada pelbagai kaum yang unik di bumi Borneo seperti suku kaum Bajau, yang menyambut para peserta dengan berpakaian lengkap tradisional.

Katanya para peserta juga mengunjungi Bengkel Kraftangan Tenunan Dastar Kota Belud untuk melihat barangan kesenian puak Irranun, menyaksikan cara pengaitan dan pemakaian etnik ini semasa perayaan majlis atau persembahan khas.

“Sehubungan itu, Tourism Malaysia berharap agar para penggiat media sosial yang terlibat akan berkongsi pengalaman dengan pembaca dan pengikut mereka dengan memberikan maklumat serta pengalaman yang diperoleh sepanjang perjalanan program mengenai produk pelancongan, sekali gus menimbulkan minat mereka untuk melawat Negeri di Bawah Bayu ini,” tambahnya.