Ekspo Kerjaya UTC Tawau Tawar 1,000 Pekerjaan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan 13 buah syarikat swasta sempena Ekspo Kerjaya di Pusat Transformasi Bandar (UTC), hari ini.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir. Amrullah Kamal berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama yang diberikan syarikat swasta berkenaan dalam memberi peluang kepada belia di daerah ini untuk bekerja.

“Saya dimaklumkan program yang dirancang secara kerjasama oleh UTC dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah ini berkonsepkan turun padang dalam memberi perkhidmatan dan menyediakan peluang kerja di kawasan berhampiran.

“Ia memberi peluang secara terus kepada majikan untuk bersemuka dengan bakal pekerja sebelum menawarkan jawatan yang ada,” katanya ketika berucap merasmikan ekspo tersebut.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, JTK Sabah Othman Abdullah.

Tambah Amrullah, penyertaan syarikat swasta kali ini meliputi pelbagai industri termasuk perkhidmatan, perladangan, pembuatan dan sebagainya.

“Saya berharap melalui program ini dapat membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran yang ada.

“Lebih menarik lagi, ekspo kerjaya ini juga menyediakan peluang kerja bukan sahaja kepada golongan siswazah, tetapi turut terbuka kepada bukan siswazah,” katanya.

Sementara itu, Rozita Ayu Zamri, 20, lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak dua tahun lalu berkata, ekspo berkenaan memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan pekerjaan.

“Sudah tentu saya berasa teruja apabila kami akan terus menghadiri temuduga dan mengetahui keputusan sama ada berjaya atau tidak, dalam masa yang sama.

“Apatah lagi lebih 600 peluang kerja hari ini terbuka kepada golongan bukan siswazah seperti kami sekali gus membantu kami mencari kerja dan dapat menjana pendapatan lebih baik sekiranya diterima bekerja,” katanya.

Kenyataan itu turut disokong oleh graduan politeknik dalam bidang teknologi maklumat, Mohd Sufiyan Yanti, 27, yang menyifatkan program tersebut dapat membantunya mencari peluang kerjaya mengikut kesesuaian.

“Ia memudahkan pencari kerja seperti kami membuat permohonan pekerjaan yang ditawarkan pada lokasi dan masa sama.

“Apatah lagi ia diadakan di Tawau, yang mana cukup memudahkan saya datang ke sini, tanpa perlu menempuh perjalanan jauh seperti ke Kota Kinabalu untuk mencari pekerjaan,” katanya.