Ekonomi Kudat Dijangka Terus Berkembang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Kemasukkan pelabur dan perkembangan sektor pelancongan dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi daerah Kudat pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Ben Chong berkata, potensi pelaburan dan pelancongan yang ada di daerah itu akan membolehkan ekonomi Kudat terus berkembang.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian itu berkata, potensi pelancongan Kudat amat baik, namun kekurangan prasarana dan kemudahan asas menyebabkan pelabur tidak berani untuk melabur di sini.

“Ini adalah tahun kedua kerajaan baharu memerintah dan prestasi kita semua bakal diuji bermula tahun ini.

“Banyak kerja yang kita harus lakukan dalam memastikan rancangan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan dapat dijayakan.

Beliau berkata, kemudahan infrastruktur asas perlu diperbaiki terlebih dahulu bagi membolehkan pelabur tertarik untuk datang ke daerah itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tanggungjawab wakil rakyat menjadi lebih berat pada tahun ini kerana banyak projek akan dilaksanakan.

“Maka, saya memohon kerjasama semua penjawat awam di daerah ini agar bersama-sama dengan kerajaan bagi memacu ekonomi Kudat agar mampu menyumbang kepada pendapatan negeri Sabah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun 2020 Ketua-Ketua Jabatan Daerah Kudat, di sini baru-baru ini.

Ben berkata, selaku wakil raykat yang diamanahkan oleh rakyat, beliau mengharapkan kerjasama semua anggota perkhidmatan awam untuk melaksana dasar kerajaan dengan sebaiknya dan kurangkan politiking.

“Budaya berpolitik perlu dielakkan dalam jabatan kerajaan. Kita perlu fokus dalam tugasan agar Indeks Pencapaian Utama (KPI) ditetapkan mampu dicapai,” ujarnya.

Katanya, beliau bersama ADUN Banggi, Mohamad Mohamarin akan berusaha membawa masuk lebih banyak peruntukan dan pelaburan ke Kudat agar daerah ini terus membangun.