Dzuriani,Suhaimi Juara Boling KK Nilam

Zain (kanan) menyampaikan hadiah kepada Suhaimi dan Dzuriani selepas menjuarai Kejohanan Tenpin Boling Beregu Campuran KK Nilam 2019.

KOTA KINABALU: Gandingan mantap Dzuriani Zulkiplee dan Suhaimi Mohd Isa menjuarai Kejohanan Tenpin Boling Beregu Campuran KK Nilam 2019 yang berlangsung di CPS Bowl, Centre Point Sabah, di sini pada Sabtu.

Bersaing menerusi format pertandingan `Scotch Double’, pasangan Dzuriani dan Suhaimi mencatat 1,250 jatuhan pin dalam enam permainan untuk mengatasi 44 pasukan lain termasuk pencabar terdekat gandingan Intan Qistina dan Wan Redzuan dengan kelebihan selesa 75 jatuhan pin.

Pasangan Intan dan Wan Redzuan yang mencatat 1,175 jatuhan pin terpaksa berpuas hati muncul selaku naib johan, sambil gandingan Winnie Leong dan Dieny Justin Payah menduduki tempat ketiga selepas mencatat 1,139 jatuhan pin.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Nilam Kota Kinabalu dengan kerjasama Persatuan Tenpin Boling Negeri Sabah (PTBNS) itu telah disempurnakan oleh Presiden PTBNS Datuk Mohd Zain Said.