Dun Sabah Sokong Pindaan Kembalikan Status Rakan Sekutu

3034

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri Sabah sebulat suara bersetuju dengan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang setara dengan Semenanjung Malaysia.

Speaker Datuk Syed Abas Syed Ali berkata demikian ketika mengisytiharkan persetujuan dan sokongan diterima wakil rakyat Sabah terhadap usul tergempar yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam mendapatkan sokongan sebulat suaran terhadap pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 April lalu.

Masidi semasa membentangkan usul tergempar dalam Persidangan DUN itu berkata, Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Sabah hendaklah meneruskan usaha berunding dengan pihak-pihak berkenaan bagi melaksanakan pindaan ini dalam sidang parlimen secepat mungkin atau dalam masa yang sesuai dan munasabah.

Beliau berkata ada pendapat berbeza mengenai tafsiran Perkara 1(2), soalnya bukan tafsiran berbeza.

“Kalau enggan mengiktiraf dan menyokong pindaan ini secara tidak langsung bersetuju dengan pindaan pada 1976, mana yang lebih baik kedudukan asal pada 1963 mahupun pindaan pada 1976.

“Pemimpin bercakap soal mengembalikan versi asal dan kita ada kesempatan berbuat demikian tetapi tidak semua mengundi.

“Oleh itu saya berharap Dewan mulia ini kena nyatakan dalam nada tegas dan bersatu padu tidak kira pandangan politik apabila bercakap tentang tuntutan dan mengembalikan hak Sabah,” katanya.

Menurutnya, usul ini adalah cerminan kepada kehendak rakyat Sabah dan sebagai langkah permulaan untuk memperolehi hak-hak Sabah seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata tugas wakil rakyat di Sabah adalah memberi mandat kepada Ahli Parlimen dari negeri ini sebagai pemimpin untuk berbincang dengan pihak berkenaan.

Rang Undang-Undang berkenaan pindaan ini gagal mendapat sokongan 2/3 undian Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 9 April lalu.

Sementara itu, Ketua Menteri merangkap Adun Senallang Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pindaan bagi mengembalikan status Sabah, Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia itu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana perkara itu sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh pemimpin terdahulu.

“Sekarang kita membahaskan perkara ini dengan mendapatkan pandangan rakyat diperingkat akar umbi. Kenapa mahu mempersoalkan apa dipersetuji pemimpin terdahulu, yang menandatangani perjanjian itu (1963) adalah tokoh-tokoh sejarah yang terlibat dalam pembentukan Malaysia,” ujarnya.

Selain Shafie, usul tergempar yang dikemukakan Adun Karanaan itu turut dibahaskan oleh Adun Kemabong Jamawi Jaafar dan Adun Pitas Datuk Bolkiah Ismail mewakili parti pemerintah Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, wakil rakyat mewakili Gabungan Bersatu Sabah (GBS) selaku pembangkang iaitu Adun Tambunan Datuk Jeffrey Kitingan dan Adun Matunggong Julita Majungki yang turut bersetuju dengan meletakkan syarat agar pindaan itu dilakukan dengan memperbetulkan perkataan yang salah.

Jeffrey berkata, sebelum membuat pindaan bagi mengembalikan perkataan asal, perkataan yang sedia dan perlu diperbetulkan agar ianya lebih jelas.

Julita pula menyatakan persetujuan menyokong usul itu bagi membolehkan status Sabah sebagai rakan setara dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak namun perlu diperjelas dengan sebaiknya agar tidak mahu pelaksanaannya hanya pada perkataan tetapi bukan amalan.

“Pindaan ini dibuat untuk memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai rakan kongsi yang setara bagi menulis serta memperbetulkan sejarah maka, ia perlu diperjelaskan dengan baik,” ujarnya.