DUN Sabah: Cadangan Lanjut Waktu Bersidang Jadi ‘Panas’

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang agak tenang sejak pagi tadi bertukar kecoh pada sebelah petang sebaik sahaja pembangkang mencadangkan persidangan dilanjutkan sehingga 5.15 petang.

Cadangan itu bermula dengan Ben Chong Chin Bin (Warisan-Tanjung Kapor) yang meminta sidang Dewan dilanjutkan.

Kemudian rakan seangkatannya, Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) turut meminta Timbalan Speaker DUN, Datuk George Anthony Ginibun memanjangkan masa persidangan sehingga 5.15 petang seperti dalam peraturan mesyuarat.

Katanya, ia bagi membolehkan lebih ramai ADUN membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semalam.

Turut bangun menyokong cadangan berkenaan ialah Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru).

Bagaimanapun, Timbalan Speaker tetap dengan pendirian bahawa persidangan tidak akan dilanjutkan sebaliknya akan ditangguhkan pada 3.30 petang seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Jin Zhe sekali lagi bangun mengatakan bahawa dalam peraturan mesyuarat, persidangan boleh dilanjutkan sehingga pukul 5.15 petang. Ini peraturan mesyuarat dan Speaker boleh membuat keputusan.

Kemudian Datuk Ruddy Awah (Bersatu-Pitas) bangun mencelah dan meminta ADUN Luyang tidak terus membuat kecoh.

“Ini peraturan KKM, bukan peraturan kamu.Tolong (ADUN) Luyang jangan buat kecoh. Kita ada peraturan, ini peraturan KKM yang buat, bukan Speaker. Kenapa bantah mengenai perkara ini sekarang tadi, awal-awal tadi sudah dijelaskan,” katanya.

Ben Chong pula mempersoalkan kenapa Parlimen boleh bersidang sehingga 7 malam walaupun bilangan Ahli Parlimen lebih ramai. Adakah prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan KKM ini berbeza biarpun dalam satu negara yang sama.

ADUN kerajaan, Datuk Abidin Madingkir (STAR-Paginatan) dan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) juga turun bangun mencelah.

Kekecohan selama 10 minit itu akhirnya bertukar reda apabila Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya tampil bagi memberi penjelasan.

“Semasa saya maklumkan pada awal persidangan tadi, tiada bantahan daripada mana-mana pihak agar persidangan tidak ditangguhkan pada pukul 3.30 petang. Jadi, kita ikut masa ditetapkan. Oleh itu, mana-mana YB yang tidak sempat berucap, kita akan beri keutamaan semasa persidangan akan datang pada November ini,” katanya.