Dugaan Menjelang Aidilfitri, Sebuah Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KALABAKAN: Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri, esok, bertukar suram apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Kebun Sapi, Kampung Kalabakan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengahari itu, rumah yang didiami Lili Fatrah Jafri, 23, yang didiami bersama ibu, bapa dan tiga adiknya musnah sepenuhnya termasuk pakaian raya yang hendak dipakai esok.

Lili berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga berada di rumah nenek di Felda Umas, hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jiran menerusi panggilan telefon kira-kira 2 petang, semalam.

“Sudah lebih dua bulan kami tidak pulang ke rumah tersebut selepas berada di Felda Umas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Sudah tentu kami sangat terkejut kerana tidak menyangka perkara seperti ini berlaku kejadian seperti ini lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Lili berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan beranggapan ia sebagai ketentuan takdir daripada Allah.

Sementara itu, Ketua Bomba Sukarela Kalabakan, Abdul Kadir Imran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.15 tengahari sebelum sepasukan angota bertugas ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati rumah jenis papan itu sudah 95 peratus terbakar sebelum operasi memadam api dijalankan menggunakan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran,” katanya.

Tambahnya operasi tamat pada jam 4.30 petang dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa.