Dua Warga Asing Ditahan Bersama 1.3kg Syabu

LAHAD DATU: Cubaan dua lelaki warga asing melarikan diri tidak kesampaian apabila mereka ditangkap bersama dadah jenis syabu seberat 1.3 kilogram dalam operasi khas di sini, pada Jumaat.

Dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu, dua lelaki berusia antara 28 hingga 43 tahun itu cuba melarikan diri apabila kenderaan mereka ditahan berhampiran Darvel Bah Plaza.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, rampasan syabu itu bernilai RM36,297 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemukan beg yang berisi satu paket bertulis ‘Refined Chinese Tea’ mengandungi ketulan hablur jernih seberat 1.3kg disyaki dadah jenis syabu.

“Turut disita kenderaan suspek bersama wang tunai sebanyak RM3,000,” katanya dalam sidang media di IPD Lahad Datu, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek adalah warga Indonesia dan Filipina dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua mereka adalah negatif dari sebarang jenis dadah.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM79,297.

Rohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, IPD Lahad Datu akan memperhebatkan usaha membanteras kegiatan membabitkan jenayah narkotik dari semasa ke semasa.

Tambahnya, sepanjang dua bulan pertama ini, mereka sudah menahan enam individu yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.