Dua Wanita Ditahan Beri Pinjaman Tanpa Lesen Di Labuan

179

LABUAN: Seorang wanita tempatan dan rakannya, wanita warga Filipina, ditahan pada Rabu kerana didakwa menjalankan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen.

Ketua Polis Labuan Supt  Muhamad Farid Ahmad berkata polis menerima maklumat pada Julai tahun ini yang kedua-dua wanita itu dipercayai memberi pinjaman kepada rakan dan peniaga kecil.

Selepas mengenal pasti suspek, pasukan siasatan jenayah komersial Labuan diketuai ASP Haslina Hassan menahan mereka di sebuah rumah sewa di Taman Mutiara Sg Bedaun pada 3 petang.

Dalam operasi itu, polis merampas sebuah buku nota yang menyenaraikan nama  peminjam dan rekod aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.

Wanita tempatan berusia 38 tahun itu yang bekerja sebagai penjaja makanan, dan suri rumah warga Filipina berumur  41 tahun, dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mengenakan kadar faedah 20 peratus kepada setiap peminjam dengan jumlah pinjaman maksimum RM3,000 dan minimum RM100.

Kes disiasat mengikut Seksyen  5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang  1951, yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Muhamad Farid mengingatkan penjaja kecil supaya menjauhkan diri daripada peminjam wang tanpa lesen, dan tidak bekerja dengan mereka atau membantu mereka dalam apa jua cara.