Dua Wanita Antara 21 Ditangkap Di Kg Lokub Menggatal

812
Kesemua yang diperiksa diminta menjalani ujian air kencing

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seramai 21 orang termasuk dua wanita ditangkap dalam operasi membanteras dadah yang dijalankan di kawasan Kampung Lokub, Menggatal, di sini pada Isnin.

Ops Sarang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kota Kinabalu itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 16.24 gram serta satu senjata berbahaya jenis buku lima.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Superitenden Habibi Majinji berkata, kesemua yang ditangkap berusia antara 15 hingga 52 tahun.

Pasukan polis menjalankan pemeriksaan terhadap pesalah yang ditahan

Beliau berkata, Ops Sarang yang dijalankan bermula 1 petang hingga 10 malam Isnin itu berjaya dilakukan dengan adanya hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya, operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah itu berjalan lancar walau ada pesalah yang berjaya meloloskan diri dengan melarikan diri ke kawasan paya bakau dan terjun ke sungai berhampiran.

Pemeriksaan yang dijalankan di Kg Lokub Menggatal

Kesemua kes disiasat mengikut pelbagai akta. Dua orang termasuk wanita disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lapan lelaki disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(A) ADB, 10 orang termasuk seorang wanita disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1963 serta seorang lelaki disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.