Dua Sekolah TUtup, Tujuh Kampung Di Sook Terjejas Akibat Banjir

Klinik Tulid ditutup sementara supaya kerja pembersihan dapat dijalankan. – Gambar ehsan FB Adrian Lasimbang

KENINGAU: Dua sekolah di daerah kecil Sook dalam daerah Keningau ditutup akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam dan menjejaskan persekolahan 407 pelajar dan 35 guru.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kabatang Baru melibatkan 158 murid serta 16 guru dan SK Sinulihan Baru dengan 249 murid bersama 19 guru.

“Sekolah yang ditutup akan menggantikan hari persekolahan pada hari Sabtu,” kata Maimunah dalam kenyataan hari Khamis.

Mengikut Adrian Lasimbang, Pengelaras DAP Pensiangan, lapan buah kampong di daerah Sook itu terjejas akibat banjir. Ini termasuk Kg. Kabatang Baru, Kg. Tulid, Kg. Kiulu Baru, Kg. Kipialiu, Kg. Batu Lunguyan,Kg. Tepu dan Kg. Sinulihan Baru dan juga Klinik Tulid.

Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman berkata beberapa rumah di kawasan rendah di Kampung Tulid, Kabatang Baru, Sinulihan dan sekitarnya turut dinaiki air malam tadi akibat limpahan air dari Sungai Sook.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkata akibat banjir berkenaan beberapa batang jalan raya menuju ke kampung juga ditenggelami air sehingga paras satu meter.

Tujuh kampung di Sook terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun keadaan banjir di Sook masih terkawal namun beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa mengikut arahan pihak keselamatan supaya berpindah segera ke pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan.

Katanya, kesemua ketua jabatan yang terlibat dalam operasi menyelamat khususnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia perlu terus membantu memantau keadaan dan sentiasa bersiap sedia bagi memudahkan usaha penyelamat apabila perlu.

Mengikut Lasimbang lagi, Klinik Kesihatan Tulid dan Sekolah Kebangsaan Kabatang turut terkena banjir. Ada penduduk yang terpaksa masak diluar rumah.

Ini adalah banjir yang kedua dalam tempoh sebulan. Kali ini jalan utama kegunaan penduduk dikawasan perumahan Tulid terputus dan penduduk tidak dapat membawa kenderaan mereka keluar.

Pihak Jabatan Bomba Keningau melaporkan 8 buah kampung, termasuk Tulid, terlibat banjir.