Dua Remaja Dikhuatiri Lemas Dihanyutkan Kepala Air

PENAMPANG: Dua remaja lelaki dilaporkan hilang ketika mandi-manda di sungai Kampung Timpangoh petang kelmarin.

Kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti riadah bersama empat rakan lain kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.10 petang dan sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Semasa tiba di lokasi, terdapat empat mangsa terperangkap di sungai manakala, dua rakan lain dihanyutkan kepala air dan dikhuariti lemas. Dua mangsa dikhuatiri lemas dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf yang merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Michael.

Beliau berkata, empat mangsa terperangkap berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala, dua rakan mangsa masih belum ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula petang kelmarin.

“Operasi SAR dilakukan dengan menggunakan kaedah SAR di permukaan air sehingga 10.45 malam tadi. Kemudian disambung semula pada jam 6.25 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa difahamkan mandi di sungai tersebut bermula 1 petang sebelum dua daripada mereka dihanyutkan kepala air akibat hujan lebat di kawasan bukit.

Kedua-dua mangsa difahamkan tidak pandai berenang dan hanya seorang daripada kumpulan pelajar tersebut pandai berenang.