Dua Remaja Aktif Kes Pecah Rumah Dicekup

Antara barang curi yang dirampas polis.

Oleh NORA AHMAD
Tuaran: Tindakan dua remaja lelaki melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Taman Rugading dan Taman Telipok Ria, membawa padah apabila ditahan polis di kediaman mereka, di Jalan Telipok Lama,  semalam.

Difahamkan, dua remaja berusia 15 dan 16 tahun itu melakukan 12 kes pecah rumah dan yang terbaru dilaporkan pada 4 Mei lalu apabila seorang mangsa melaporkan rumahnya di Taman Telipok Ria, dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kedua-dua remaja itu ditahan di rumah mereka dan mengaku aktif melakukan jenayah itu sejak Jun 2019.

“Ketika ditahan, polis turut berjaya merampas pelbagai jenis barangan dipercayai dicuri oleh kedua-dua suspek antaranya tiga televisyen, satu tong gas, kipas angin, telefon bimbit dan dua utas jam tangan.

“Siasatan mendapati kedua-dua remaja dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 12 kes pecah rumah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, salah seorang daripada suspek juga didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, sejak Januari hingga Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran membuka sebanyak 41 kertas siasatan membabitkan kes pecah rumah.

“Tertangkapnya kedua-dua suspek ini, polis percaya berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah,” katanya.