Dua Penumpang Maut Kenderaan Bertembung

Oleh NORA AHMAD
LABUAN: Dua penumpang maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah van dalam kemalangan di Jalan Tun Mustapha, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa Amad Hassim, 40, dan Mal Parad, 36, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan disahkan meninggal dunia di lokasi kerana kecederaan parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Bezza yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dan sebuah van jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 22 tahun.

“Hasil siasatan mendapati, pemandu Proton Bezza yang membawa dua penumpang iaitu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah bandar hendak masuk ke Jalan Masjid melalui kawasan lampu isyarat Masjid An-Nur.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, kenderaan terbabit bertembung dengan van yang datang dari arah Pohon Batu menuju ke bandar,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu, dua penumpang berkenaan mengalami kecederaan parah akibat terhumban keluar dari kenderaan manakala seorang lagi penumpang tersepit di bahagian hadapan.

“Pasukan paramedik yang berada di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah siasat.

“Manakala kedua-dua pemandu pula hanya cedera ringan dan dirawat di Unit Kecemasan dan sampel darah serta air kencing mereka diambil untuk ujian dadah dan alkohol,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Farid berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Bezza ketika memandu keluar simpang.

“Bagaimanapun, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.