Dua Pelajar Cedera Kebakaran Madrasah Di Kampung Sungai Imam

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Dua pelajar lelaki cedera selepas madrasah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Imam, Jalan Bombalai, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa dikatakan mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri selepas api marak membakar Madrasah Ad-Dinniah Ar-Rahmaniah (ADRA).

Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi kenyataan media mengesahkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.56 petang semalam.

“Sepasukan 15 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer  dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.

“Sebaik tiba di sana, pasukan bertugas mendapati bangunan dua tingkat separa kekal itu sedang terbakar,” katanya.

Pihaknya segera bertindak memadamkan api dan keadaan terkawal pada pukul 7.27 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya dua jam kemudian.

“Dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa direkodkan, namun, dua pelajar tahfiz mengalami cedera ketika menyelamatkan diri.

“Mereka dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Setakat ini, pihak JBPM sedang menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa.