Dua Pati Ditahan Polis Marin Labuan

LABUAN: Pasukan Polis Marin Labuan telah menahan dua lelaki atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam operasi  dikawasan laut terusan Pulau Kuraman dekat sini pada awal pagi kelmarin (Rabu).

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata

penahanan itu dibuat ketika pasukan marin Labuan menjalankan operasi pemantauan rutin perairan di sekitar Labuan dan sempadannya.

“Bot ronda PSC 1 Pasukan Polis Marin Labuan semasa menjalankan tugas ‘Op Gelora’ telah menahan sebuah bot nelayan (bogo-bogo) di kawasan laut terusan Pulau Kuraman Labuan,” katanya.

Pajeri  berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki warga Filipina yang berusia 18 dan 27 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan.

Kedua-dua tangkapan dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Labuan untuk tindakan lanjut dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Labuan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengatur gerak aset bersama pegawai dan anggota menjalankan operasi di perairan dan pesisir pantai bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dapat dibenteras serta memastikan keselamatan perairan negara terjamin,” katanya.