Dua Maut Dalam Dua Kemalangan Di KK Dan Sipitang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dua maut dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Tuaran Bypass dan Jalan Beaufort-Sipitang, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass Kota Kinabalu, seorang maut apabila tiga kenderaan bertembung dalam kemalangan yang berlaku awal pagi tadi (Sabtu).

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 6.48 pagi dan dua buah jentera serta dua motosikal RIM yang diketuai Penguasa Bomba Kanan II Idy Nirwan bersama 11 orang anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut Ketua Operasi, kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Kancil, Toyota Hilux dan sebuah motosikal.

Sebaik tiba dilokasi kejadian, seorang mangsa dikenali sebagai Haji Lahir, 58, tersepit dalam Perodua Kancil berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara dalam kejadian di Tunggul Tinggi, Jalan Beaufort-Sipitang, seorang maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan pada petang Jumaat.

PGO JBPM menerima panggilan kecemasan pada 6.12 petang dan dua jentera diketuai Penolong Bomba Kanan II Sahdan Basar bersama empat anggota, dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba dilokasi, didapati dua kenderaan Toyota Hilux bertembung dan 11 mangsa terlibat dimana seorang mangsa dikenali sebagai Salim Khan Abdul Sapar,37, tersepit dan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS. Mangsa kemudian dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital.

Sementara, 10 orang mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba.