Dua Mangsa Nahas Helikopter Dirujuk Ke Hospital Queen Elizabeth

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Dua mangsa nahas helikopter Agusta Westland AW139 yang cedera parah dan patah tulang akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata, ia bagi membolehkan pemeriksaan lebih lengkap dilakukan termasuk Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dilakukan.

“Difahamkan, Sarjan Wedrick Sindih, 34, dipercayai patah pada tulang leher dan kedua-dua belah tulang pinggul.

“Manakala Sarjan Mohd Radzie Mohd Radaie, 40, pula patah pada tiga ruas tulang ruduk sebelah kanan, berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa untuk pemantauan,” katanya kepada media, selepas melakukan lawatan di tapak kejadian Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua mangsa akan dipindahkan ke Kota Kinabalu, bergantung kepada keputusan dan nasihat pihak Hospital Besar Tawau.

“Seorang lagi mangsa, pembantu juruterbang Asisten Superitendan Shaike Faiqzal Johari, 34, hanya terseliuh pada tangannya.

“Secara keseluruhan, hanya tiga mangsa yang cedera manakala tiga lain iaitu kapten helikopter Deputi Superitendan Norhashim Ahmad, 44, Kopral Andyrian Shah Mohd Saufi, 33, dan jurutera Harry Joinin, 36, luka kecil serta tidak cedera,” katanya.

Semua mangsa akan ditempatkan di daerah ini sehingga rakaman percakapan selesai dilakukan.

AHMAD LOKMAN

Sementara itu, menurut Ahmad Lokman, helikopter terbabit dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Sandakan pada 26 Februari lalu, sebelum bergerak ke Lahad Datu, Lapangan Terbang Tawau dan Batalion 14 PGA Tawau, semalam, untuk melakukan rondaan rutin di perairan pantai Timur Sabah.

“Bagaimanapun, helikopter tersebut hilang kawalan dan terhempas pada jam 7.30 malam tadi ketika hendak mendarat di sini.

“Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan dan sepasukan penyiasat dari Bahagian Siasatan Kemalangan Udara dibawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan tiba di sini, petang ini untuk melakukan siasatan terperinci,” katanya.

Tambah beliau, siasatan itu dijangka akan mengambil masa antara satu hingga dua hari dilakukan sebelum pihaknya dapat mengetahui punca nahas berlaku.

“Dalam hal ini, tiada penggunaan kotak hitam di dalam helikopter.

“Berdasarkan rekod, perolehan pesawat ini pada tahun 2016 dan mula ditempatkan di Sabah pada April tahun lalu bagi meningkatkan dan memperkasakan rondaan di pantai Timur Sabah,” katanya.