Dua Lelaki Ditahan Ingkar MCO Berdepan Hukuman Mati

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Laut Terumbu Gusung, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 12.03 tengah malam itu, suspek berumur 36 dan 45 tahun itu turut berdepan hukuman mati selepas polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 50 gram dan 20 gulung kertas timah  pada beg milik mereka.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, terdahulu pihaknya melakukan rondaan di perairan Lahad Datu, pihaknya menemui dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

“Anggota bertugas kemudian bertindak menahan dua lelaki itu untuk melakukan pemeriksaan lanjut memandangkan ketika ini PKP sedang dilaksanakan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, anggota bertugas menemui satu beg milik suspek berisi dua bungkusan plastik mengandungi dua plastik lutsinar (syabu) dan kertas foil (timah) yang digunakan untuk aktiviti penagihan dadah,” katanya kepada media, semalam.

Tambah Mohamad Pajeri, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa plastik berwarna kuning mengandungi sarang burung, alat penimbang dan beberapa barangan peribadi suspek seperti telefon bimbit.

“Semua barangan itu termasuk enjin dan bot laju dianggarkan berminai lebih RM21,000 dirampas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Selain itu, memandang tangkapan dibuat ketika perlaksanaan PKP yang kini memasuki fasa kedua, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324) dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020, selain Seksyen 269 Kanun Keseksaan.