Dua Lelaki Ditahan Alih Penghadang Jalan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Polis menahan dua lelaki yang bertindak mengalihkan kon yang dipasang untuk menutup laluan dari Jalan Cecily ke Batu 4, di sini.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 47 tahun itu ditahan oleh pasukan pemantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pasukan pemantau dikatakan mendapati kon yang dipasang dialihkan, sebelum menahan sebuah kenderaan dinaiki dua suspek yang melalui jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata ketika ditahan, kedua-dua lelaki itu memberi alasan menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Batu 6.

“Kedua-dua lelaki ditahan kerana memberi alasan tidak munasabah dan melanggar PKP.

“Mereka dibawa ke balai polis dan direman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selepas kerana dipercayai memiliki dadah dalam sekatan jalan raya di Jalan Utara, Batu 5, di sini, pagi tadi.

Sebelum itu, suspek yang menunggang motosikal dikatakan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa satu paket dadah jenis syabu.