Dua Lelaki Bunuh Pemandu Grab Ditahan Di 1Borneo – Ketua Polis

Keadaan mayat mangsa dalam keadaan menyayat hati selepas dibuang di kawasan semak oleh suspek.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan yang dipercayai suspek utama menyamun dan membunuh seorang pemandu Grab yang hilang sejak Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, suspek berumur 20 dan 24 tahun termasuk seorang warga asing itu ditahan di kawasan perniagaan 1Borneo pada pukul 9.50 malan tadi.

Katanya, hasil siasatan, kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa sebelum mayatnya dibuang kawasan semak berhampiran Shahbandar, Tuaran.

MOHD HANAFIEE JAAFAR

“Pihak kita telah menjalankan siasatan dalam kes ini, dengan kerjasama diberikan oleh pihak Grab telah menyalurkan maklumat tentang suspek yang telah menggunakan perkhidmatan kereta yang dipandu oleh si mati kali terakhir.

“Kita telah tangkap kedua-dua penumpang semalam, hasil pendedahan kedua-dua ini mereka mengaku, mereka yang terlibat membunuh pemandu Grab ini, mereka mendedahkan mereka membuang mayat pemandu grab ini satu kawasan di Tuaran.

“Semalam juga, polis Tuaran menemui mayat ekoran maklumat diberikan orang awam, menemui mayat seorang lelaki di kawasan Shahbandar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Kenderaan mangsa yang ditemukan dengan kesan darah.

Menurut Omar, pada 24 Mei lalu, kira-kira pukul 4 pagi, mangsa, dikenali sebagai Mohd Hanafiee Jaafar, 27, difahamkan mengambil dua penumpang berkenaan di kawasan Kingfisher, Kota Kinabalu ke daerah Tuaran, sebelum dilaporkan hilang.

Susulan kehilangan mangsa, keluarga dan rakan pemandu Grab itu memuatnaik status kejadian tersebut sehingga tular di laman sosial.

Kereta dipandu mangsa yang terpalit kesan darah ditemukan di kawasan Indah Permai, Sepanggar, kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad lalu manakala mayat mangsa ditemukan semalam.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.