Dua Lagi Pesakit Covid-19 Di Malaysia Pulih

Oleh ARDYHANSAH AMAT
PUTRAJAYA: Dua lagi pesakit kes jangkitan Covid-19 di negara ini, dilaporkan pulih, hari ini.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia membabitkan dua orang wanita warga China berumur 37 dan 38 tahun.

“Kes pertama membabitkan pesakit wanita warga China yang disahkan positif pada 5 Februari lalu.

“Manakala kes kedua yang dilaporkan pulih hari ini membabitkan wanita dari negara sama yang dilaporkan positif Covid-19 pada12 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Dzulkefly, ia menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih sepenuhnya sehingga hari ini seramai 20 orang, manakala dua orang lagi masih dirawat.

Dzulkefly (dua kiri) ketika lawatannya di Hospital Semporna, minggu lalu.

“Tiada kes terbaharu dicatatkan berlaku di Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 kekal 22 kes,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly turut memberi bayangan mengenai statusnya sebagai Menteri Kesihatan mungkin berakhir ekoran kemelut politik dan kepimpinan negara ketika ini.

Menerusi status yang dimuat naik di facebook beliau, hari ini, Dzulkefly menyatakan rasa terima kasih kepada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang komited dalam menjalankan tugas.

“Saya sanjung tinggi budi tuan (warga KKM) dan mendoakan segala yang terbaik untuk warga KKM di masa depan.

“Ini mungkin sharing (perkongsian) terakhir saya sebagai YBMK (Yang Berhormat  Menteri Kesihatan),” katanya.