Dua Lagi Lokaliti Di Sandakan Laksana PKPD

KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Sandakan iaitu di Taman Mesra dan Taman Mawar bermula 28 Oktober hingga 10 November ini.

Pelaksanaan PKPD di dua lokaliti ini melibatkan 22,500 penduduk.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan persekutuan turut melanjutkan tempoh pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti di Sabah iaitu dari 27 Oktober hingga 9 November ini.

Tiga lokaliti yang dilanjutkan tempoh PKPD adalah Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih di Lahad Datu dan Felda Ums, Kalabakan.

Masidi berkata, kelonggaran diberikan kepada perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang bagi memberi kemudahan kepada penduduk sekitar membeli barangan keperluan.

Sehingga kini, pelaksanaan PKPD dilakukan di 16 lokaliti di Sabah.

Mengenai agihan bakul makanan, sehingga kini sebanyak 90,471 bakul makanan diagihkan di seluruh kawasan terjejas yang dikenal pasti.

Tambahnya, semalam enam tangkapan dilakukan dan 25 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Manakala, 234 buah kenderaan diarah berpatah balik.