Dua Kedai Makan Langgar SOP, MPT Pantau Lokasi

Penguatkuasa MPT melakukan pemeriksaan di sekitar Jalan Perbandaran termasuk dua premis yang didakwa melanggar SOP sempena PKPB.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Dua premis makanan  dikesan melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika beroperasi di sekitar Jalan Perbandaran, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, pelanggan kedai duduk antara empat hingga enam orang semeja sekali gus melanggar penjarakan sosial yang ditetapkan pihak berkuasa yang menghadkan bilangan pelanggan dalam satu-satu masa.

Menurut pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Afil, 29, dia terkejut melihat kehadiran ramai orang di dua premis tersebut.

“Dianggarkan lebih 20 orang berada di satu daripada premis berkenaan terdiri daripada lelaki dan wanita.

“Manakala 12 orang pelanggan berada di sebuah premis lagi yang duduk di tiga buah meja,” katanya.

Tambahnya, lebih mengejutkan ada beberapa meja menempatkan sehingga enam orang dalam satu masa yang dilihat berbual sambil menikmati minuman dan makanan.

“Mungkin mereka tinggal serumah atau satu keluarga, namun, apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian, kumpulan berkenaan menaiki sehingga empat kenderaan berbeza dan segera beredar dari lokasi berkenaan.

“Tindakan ini cukup dikesali, apatah lagi kita kini sudah melalui kehidupan yang sukar lebih dua bulan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Afil, dia tidak berniat untuk mengganggu perniagaan mereka, namun terkilan kerana tindakan ingkar SOP yang ditetapkan mengundang kepada risiko penyebaran Covid-19.

“Saya mempunyai abang dan kakak yang bekerja sebagai jururawat dan polis.

“Setiap hari, saya melihat mereka terpaksa bertugas tanpa mengira masa untuk memerangi Covid-19,” katanya.

Justeru, dia berasa kecewa apabila melihat ada pihak yang mengambil sambil lewa pematuhan SOP dan mementingkan diri.

“Namun, saya bersyukur apabila melihat ada anggota polis yang tiba di lokasi berkenaan dan mengarahkan pelanggan beredar termasuk memberi amaram kepada pemilik premis,” katanya.

Sementara itu, pengurusan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tawau ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan tersebut yang tular di media sosial.

“Pemeriksaan juga sudah dilakukan petang tadi di premis berkenaan dan kami mendapati ada peniaga gagal menyediakan cecair sanitasi dan alat pemeriksaan suhu di premis masing-masing.

“Malah ada peniaga yang menafikan membiarkan bilangan pelanggan yang ramai duduk dalam satu meja seperti yang tular di media sosial,” katanya.

Siasatan terperinci akan dilakukan termasuk berdasarkan maklumat daripada pengadu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Untuk makluman, sebanyak 32 premis sekitar daerah ini sudah diberikan amaran kerana gagal mematuhi SOP, pagi tadi, dan perkara ini sudah dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan.

“PKOB berharap agar semua pihak termasuk peniaga dan pelanggan mematuhi arahan yang ditetapkan bagi membolehkan usaha kerajaan memerangi Covid-19 berjaya dicapai,” katanya.