Dua IPG Di Sabah Ditutup, Kualiti Pendidikan Jadi Taruhan – Stephen

1294

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan telah mengesahkan dua Institut Pendidikan Guru (IPG) di Tawau dan Keningau akan ditukarkan kepada pusat latihan vokasional dan politeknik manakala dua lagi kampus di Kota Kinabalu dan Tuaran akan terus beroperasi seperti biasa.

Pengesahan itu dibuat dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong di Parlimen baru-baru ini.

STEPHEN WONG

Beliau diberitahu, segala perubahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga graduan akhir tamat pengajian pada 2021.

Namun, apa yang menjadi persoalan kata Pengerusi DAP Sabah itu ialah isu kekurangan guru dalam jumlah yang besar terutamanya di kawasan pedalaman.

“Mengapa perlu tukar kepada kolej vokasional dan politeknik sedangkan kita kekurangan guru?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, empat IPG yang beroperasi di Sabah memainkan peranan penting kepada sumber tenaga pengajar tempatan.

“Bukan sahaja kepentingannya malah secara demografi, setiap IPG terletak di kawasan berlainan dan memberi khidmat kepada daerah masing-masing, pelajar dari Tawau misalnya akan kesukaran untuk jalani latihan di kampus Gaya atau Kent jika kampus Tawau ditukar,” tegasnya.

Justeru, beliau mahu supaya kerajaan membuat perancangan masa depan yang rapi dan tidak mempertaruhkan kualiti pendidikan selepas berlakunya perubahan itu.

Jawapan bertulis itu juga turut menyenaraikan jumlah graduan dari empat IPG iaitu seramai 303 graduan pada 2012; 294 (2013); 597 (2014); 370 (2015) dan 304 (2017).

Terdapat 27 kampus IPG di seluruh negara dan sembilan daripadanya akan ditukar sebagai kolej vokasional dan politeknik sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam dalam Pembentangan Bajet 2017 pada Oktober 2016. – Roketkini.com