Dua Dihanyutkan Arus Semasa Bot Karam di Pangi, Tenom

TENOM: Dua mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas apabila bot pengangkutan dinaiki karam di Sungai Padas berhampiran Kampung Kalandos, Pangi petang tadi

Dalam kejadian pada 4.13 petang itu, empat penduduk termasuk dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membeli barang keperluan di Pekan Tenom.

Penolong Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, semasa bot dinaiki menghampiri tebing sungai, tiba-tiba bot tersebut terbalik lalu dihanyutkan arus.

Bagaimanapun, dua daripada empat mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala, dua lagi iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dihanyutkan arus deras.

Semasa kejadian, dua mangsa iaitu seorang lelaki warga emas dan seorang wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri dan dua lagi hilang dihanyutkan arus deras.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.13 petang yang memaklumkan bot dinaiki empat orang mangsa yang baru selesai membeli barang keperluan di Pekan Tenom karam semasa menyeberangi Sungai Padas.

Pasukan bomba kemudian terpaksa menggunakan pengangkutan kereta api yang menjadi satu-satunya akses pengangkutan untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut.