Dua Beranak Melecur Dalam Kebakaran Di Lahad Datu

Inilah keadaan rumah
Beginilah keadaan rumah Waasi selepas terbakar pagi Isnin. – Gambar ihsan Bomba Lahad Datu

LAHAD DATU – Dua beranak melecur apabila rumah yang didiami mereka di Kampung Buang Sayang, kira-kira 14 kilometer dari sini, terbakar pagi Isnin.

Dalam kejadian itu, Waasi Laali, 50, melecur di bahagian muka dan tangan manakala anak lelakinya berusia lapan bulan, Gairel Latiga, melecur di tangan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.53 pagi dan mengerahkan dua jentera beserta lapan anggota yang diketuainya sendiri ke lokasi.

Menurutnya pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 9.09 pagi dan api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain pada pukul 9.22 pagi.

“Ketika kami tiba di lokasi, api sedang marak. Selain rumah, sebuah kereta turut musnah dalam kebakaran ini,” katanya.

Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian, katanya.